Followers

Friday, November 2, 2018

Yang Pertama

Aku hanya mahu Dia.. Yang Pertama..
Mampukah tuk kau fahami?
Aku hanya mahu Dia.. Yang Pertama..
Untuk selamatkan kita..

Demikian bait-bait petikan daripada lagu kumpulan The Faith yang berjudul " Yang Pertama ". Apabila mendengar lagu ini, dengan liriknya sahaja sudah pasti kita dapat buat satu kesimpulan yang mana kita sebagai hamba hanya bergantung harap pada Maha Pencipta Sekalian Alam. 

Pada hari ini, ramai manusia yang kecewa, ramai manusia yang gembira dan sebagainya. Ujian sentiasa datang pada mereka yang dipilih oleh Allah untuk menghadapinya. Allah mahu kita bergantung harap padaNya seratus peratus tanpa berharap pada selainNya. 

Ya, hari ini, terutamanya didalam bab percintaan. Manusia sering terlepas pandang dan tidak mahu mengambil satu jalan penyelesaian yang betul. Jika dilihat, golongan yang bercinta ( sebelum nikah khususnya ) terlepas pandang didalam hal kebergantungan kepada Allah. Lebih mengharapkan cinta manusia berbanding cinta Maha Pemberi Cinta.

Kita lupa bahawa Allah yang memberi dan mengurniakan rasa cinta diantara seseorang kepada seseorang yang lain. Jadi, mengapa kita tidak bergantung harap padaNya seratus peratus? Yakinlah, jika kita berharap hanya pada Allah dan menyerahkan segalanya padaNya, InsyaAllah, Allah takkan kecewakan kita. Allah Maha Kuasa. Dia tahu apa yang ada didalam hati setiap manusia. Berharaplah pada Allah. Nescaya kamu semua akan bahagia. ^_^

The Faith - Yang Pertama | Official Video ( Sumber: Youtube )

Tuesday, October 23, 2018

"Masuk Rumah Orang Jadi Buta, Keluar Daripadanya Jadi Bisu "


" اُدْخُلْ بُيُوْتَ النَّاسُ اَعْمَٰى وَالخْرُجْ مِنْهَا اَبْكَمْ "

Begitulah maksud kata-kata yang sungguh mendalam maksudnya. Jika dilhat pada ayat itu sahaja sudah memberi maksud kepada kita tentang penyampaian mesej tentang " ADAB ". 

Apa yang boleh diterjemahkan daripada kata pujangga tersebut adalah, apabila kita bertandang, menziarahi jiran tetangga,kawan-kawan hatta saudara mara sekalipun, adab mesti ada. 

"Masuk menjadi Buta" membawa maksud apabila kita menziarahi dan sedang berada didalam rumah orang lain, hendaklah kita menjaga penglihatan. Mata tidak terkebil-kebil melihat barangan yang terdapat didalam rumah tersebut. Mata juga tidak melilau mencari dan melihat isi rumah tersebut. Jaga penglihatan dan pandangan. 

"Keluar menjadi Bisu" pula membawa maksud, apabila kita keluar dan mahu pulang, tidak perlulah kita bercerita tentang keadaan rumah atau isi rumah yang telah kita ziarahi. Kita perlu hormat akan privasi orang lain dan ini merupakan adab didalam menjaga hubungan sesama manusia. Jika mulut dijaga, maka akan berkuranglah peratusan untuk mengumpat,memfitnah dan sebagainya.

Jaga adab ! Wallahua'lam.

Sunday, October 14, 2018

Jumaat Di Hayyu Sabiek Yang Mencuit Hati !

Apabila tibanya hari jumaat, suasana pada waktu tengah hari kelihatan sibuk dan sesak kerana semua mahu menunaikan kewajipan yang utama iaitu solat jumaat. Di Malaysia, keadaan tersebut sudah menjadi sinonim dan di Mesir juga begitu. 

Di Mesir, suasana pada hari jumaat begitu sesak dengan lautan manusia yang berpusu-pusu ke masjid. Di sini, banyak masjid yang berhampiran, jadi banyaklah pilihan untuk menunaikan dimana sahaja masjid yang menjadi pilihan hati. Ada juga segelintir yang mencari masjid yang mempunyai khutbah yang pendek sahaja. Haha itu perkara biasa disini. Jika terasa sedikit terkejar-kejar, maka itulah pilihan yang tepat. Ada sebuah masjid disini yang popular dengan nama, " masjid Juara ". Kerana khutbahnya yang pendek dan sekejap sahaja. 

Biasanya aku akan solat di masjid belakang wisma. Ada sebuah masjid. Khutbahnya tidaklah terlalu panjang dan tidak pula terlalu pendek. Selesa. Dulu, semasa baru-baru sampai ke mesir, masjid juara menjadi destinasi wajib pada hari jumaat. Hehe. Sentiasa merasa solat di atas jalan, berbumbungkan langit yang  memancarkan cahaya panas terik. Alhamdulillah sudah merasa.

Apa yang mencuit hati aku adalah, kelihatan ramai budak-budak di luar masjid dan didalam. Ada yang bermain, solat dan lain-lain. Itu biasa. Di Malaysia juga begitu bukan? Perkara yang ingin diceritakan adalah apa yang terjadi selepas itu.

Kebiasaannya, di mana-mana masjid di Mesir, akan ada kerusi-kerusi untuk ammu-ammu ( pakcik yang sudah tua dan tidak larat untuk berdiri lama ) . Demikian di masjid yang aku solat, di saf hadapan sekali , ada sebaris ammu-ammu duduk. Apa yang membuat aku teruja adalah, apabila selesai solat, budak-budak akan meluru ke arah seorang ammu. Di belakang ammu itu terdapat sebungkus plastik besar, penuh dengan makanan-makanan ringan,coklat dan sebagainya. Ammu tersebut menyuruh budak-budak beratur dan mengagihkan kepada mereka. Setiap jumaat pasti adegan itu yang berlaku dan nampaknya memang itulah rutin yang sering berlaku. Mungkin ini sudah menjadi tabiat mereka. Suka sangat budak-budak apabila dapat makanan ringan tersebut. Aku juga tersenyum keseorangan. Terasa dicuit. Ya. Perasaan aku dicuit. Hm.

Apa yang aku dapat simpulkan adalah, cara mereka mendidik anak-anak mereka. Anak-anak, budak-budak kecil sudah diasuh untuk lebih menghabiskan masa mereka di masjid dan bukannya di tempat lagha. Tidak peliklah jika datang ke mesir dan melihat ada pemuda-pemuda yang memakai rantai, seluar ketat dan sebagainya datang ke masjid membawa sejadah untuk solat.

Jadi itulah akhlak mereka. AlQuran juga sudah seperti telefon bimbit mereka dan wajib ada disetiap tempat. Di dalam kereta, kedai, poket dan sebagainya. Mereka kaya dengan nilai islam kerana apa? Ini Ardil Kinanah. Mesir Bumi Jejak Para Anbiya'.

Tuesday, October 9, 2018

Kepulangan ke Kampung Blog.

Hm, sudah berbulan tidak meng-update di blog ini. Seakan sudah berhabuk. Hihi. Hari ini terasa mahu kembali membuka lembaran di blog CPC ini. Memang kebelakangan ini sedikit sibuk dengan urusan balik ke kampung halaman, sehinggalah kembali semula ke Kaherah,Mesir.

Harapan aku semoga terus diberi kekuatan didalam kehidupan seharian, juga anda semua. InsyaAllah akan kembali menulis2, berkongsi cetusan rasa dan sebagainya. Stay tuned sahabat ! ^_^

Monday, May 28, 2018

Kepulangan Yang Tidak Disangka

Assalamualaikum! Assalamualaikum! Assalamualaikum!

Alangkah terkejutnya si ibu apabila melihat anaknya tiba-tiba pulang dari perantauan. Manakan tidak, tidak ada angin dan ribut, tiba-tiba sahaja muncul dihapan mata. Bukan hanya si ibu, malah nenek juga. Ayah hanya biasa-biasa sahaja daripada riak wajahnya, tetapi pasti ada rasa didalam hati. Adik-adik yang berada di asrama masih tidak tahu. InsyaAllah seusai mereka pulang ke rumah, akan tahulah mereka.Mereka juga beriya-riya menyuruh untuk pulang. Rindu yang sudah berputik.

Itulah yang telah terjadi padaku. Sengaja aku tidak mahu memberitahu keluarga bahawa aku balik beraya tahun ini. Ini semua perancangan-Nya yang maha terbaik. Aku juga tidak menyangka yang aku akan balik beraya pada tahun ini. Alhamdulillah. Berkat usaha daripada titik peluhku meniaga dan bekerja, akhirnya dapat juga aku pulang walaupun tiket kapal terbang itu berstatus "one way".

Menjejak kaki ke tanah tumpahnya darahku buat kali pertama selepas ke Mesir
Tidak hanya pulang untuk beraya semata-mata. Cuti yang berbaki dua bulan lebih
perlulah diisi dengan perkara yang bermanfaat dan penting kerana mungkin untuk pulang kembali mengambil masa yang begitu lama dek kerana jarak beribu-ribu batu memisahkan.

Namanya Amir. Dari Cairo nak ke Amerika. Banyak menolong aku semasa perjalanan ke Abu Dhabi.

InsyaAllah, semoga dengan pertemuan ini menjadi yang paling bermakna buat aku, keluarga, kawan-kawan dan insan istimewa walaupun tidak berapa lama. Tidak mengapa, pelajaran harus diteruskan, masa masih panjang. Allahu Musta'an. Ameen.

Thursday, May 17, 2018

Ramadhan kedua di Ardil Kinanah.

Alhamdulillah, thummalhamdulillah, Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi dipertemukan kita dengan bulan yang penuh mulia iaitu bulan Ramadhan. Semoga kita mampu mencari pahala dan mengaut seberapa banyak kelebihan yang terkandung didalamnya. Allahumma ameen.

‌Buat pengetahuan semua, ini merupakan ramadhan untuk kali kedua saya tanpa keluarga disisi. Alhamdulillah, masih berkesempatan bertemu dengan bulan ramadhan. Sejujurnya, memang terkesan di hati dek kerana masih lagi tidak bersama-sama dengan keluarga, tetapi tidak mengapa, semua telah diaturkan dan ditetapkan olehNya.

Memandangkan tahun ini merupakan tahun kedua kami ( batch ) di Ardil Kinanah ini, jadi, ramai diantara kenalan dan rakan-rakan pulang ke kampung halaman ( Malaysia khususnya ) .

‌Jika dipanjangkan umur, insyaAllah, saya akan pulang juga ke tanah air. Tidak mengapa kerana, Nabi telah sebut didalam hadis, " Barangsiapa yang bersusah payah untuk menuntut ilmu di jalan Allah, maka Allah akan mempermudahkan jalannya untuk ke syurgaNya".

عصير فرولة بالشكولاتة ( Jus Strawberry dengan Coklat )



Monday, May 7, 2018

Bertemu Idola..

PerancanganNya..Alhamdulillah..Alhamdulillah..Thummalhamdulillah.. hm begitu ungkapan yang sentiasa disebut apabila kita berasa sangat bersyukur diatas pemberianNya. Begitu juga aku, tidak dapat digambarkan betapa bersyukurnya aku padaNya. Kenapa? Apa yang membuatkan aku menjadi sebegitu?  Jawapanya..

Hari ini, 7 Mei 2018, aku merasakan bahawa doaku telah dimakbulkanNya. Sememangnya aku sangat "excited" pada hari ini. Begini ceritanya.

Aku dan rakanku ( juga merupakan pelajar baru ) pergi ke sebuah tempat ( Vodafone Platform ) di awal sabiek. Memang tak dijangka olehku bahawa hari ini akan menjadi hari ke "excited" an. Kerana apa? Kerana aku berjumpa dengan idola aku, iaitu bang Taqy Malik. Beliau merupakan seorang qari ( indonesia ). Kemerduannya dalam melantunkan dan mengalunkan bait-bait ayat suci alquran memang begitu mengagumkan aku. 

Setelah lama menunggu untuk urusan pembelian kad sim selesai di kedai vodafone itu, akhirnya, hampir selesai dan aku ingin membayar untuk harga kad sim tersebut, tetapi, pekerja vodafone tersebut tiada "fakkah" ( wang kecil ). Begitu juga aku. Lalu, aku memutuskan untuk keluar dan pergi ke kedai lain untuk membeli sedikit makanan, supaya mampu mendapatkan "fakkah".

Setelah lama mencari "fakkah", akhirnya, berjaya mendapatkannya. Apabila sampai di kedai vodafone tersebut, kepalaku seolah-olah tertoleh dengan sendirinya di sebuah mesin atm berhampiran pintu masuk kedai tersebut.

Alangkah terkejutnya aku apabila sesosok tubuh dan wajah yang mungkin aku kenal sedang memandang tepat padaku. Tidak salah lagi, itulah dia. Apalagi, terus meluru kearahnya dan meminta untuk menangkap sebuah foto kenangan bersamanya.

Alhamdulillah. Tidak ku sangka bahawa, doaku pada tahun 2017, dimakbulkan olehNya pada hari ini, 7 Mei 2018. 

Friday, May 4, 2018

Bertemukah kita ? Ramadhan datang lagi..

InsyaAllah, beberapa hari lagi akan tiba suatu bulan yang mana padanya terdapat kelebihan dan ganjaran yang sangat istimewa. Padanya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu " Lailatul Qadr " . Sememangnya masyarakat melayu umumnya pada hari ini, selalu memanggil " Malam Lailatul Qadr " , padahal  perkataan " Lail " pada nama tersebut sudah bermaksud " malam " . Tetapi tidak mengapa, ia tidak perlu dijadikan masalah yang besar kerana maksudnya masih lagi tidak lari.

Sumber Foto: Google image

Sempatkah kita? itu pertanyaan yang sering bermain didalam minda kita. Jika tahun lepas, kita menyambut Ramadhan Kareem dengan baik, harapnya pada tahun ini, Ramadhan Kareem disambut dengan terbaik. Bukan hanya disambut dengan bedilan-bedilan meriam, makanan yang begitu banyak, pelita minyak tanah dan sebagainya.

Ramadhan Kareem perlulah diisi dan dihiasi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan dianjurkan oleh Nabi kita yang tercinta. Contohnya, bertadarrus alquran sekaligus mentadabbur setiap bait-bait ayat suci alquran. Selain itu, pada bulan mulia inilah, masa yang begitu tepat untuk kita mencari seberapa banyak pahala dan keredhaan dariNya.

Alangkah ruginya kita apabila Ramadhan berlalu tetapi kita masih didalam kondisi yang tidak berganjak dan bertambah. Maksud saya, tiada peningkatan dari aspek kerohanian dan pentarbiahan diri.

Bulan Ramadhan merupakan bulan tarbiah, bulan mendidik diri supaya menjadi lebih baik. Puasa disiang hari bukan menahan lapar semata tetapi menahan segala perbuatan yang boleh mengundang kepada dosa.

InsyaAllah, sama-sama berazam untuk mempertingkatkan kualiti diri dan penambahbaikan diri supaya kita menjadi hamba yang terbaik. Akhir kalam, selamat menyambut Ramadhan Kareem 2018M/1439H. ~

Aidilfitri 2017 di perantauan ( Cairo,Egypt ), Bersama sahabat baik, Hafifi Azhar menggayakan baju yang sama. ( Tidak merancang pada mulanya😂 )

P/S : Baju raya tahun ni warna apa? 😆

Tuesday, May 1, 2018

Jom Selawat..

Assalamualaikum semua, dah selawat ke hari ini? kalau belum, ringan-ringankanlah bibir untuk berselawat keatas baginda Nabi Muhammad S.A.W dan seluruh ahli keluarganya.

Sememangnya kita pada hari ini, tidak melihat tentang betapa besarnya ganjaran bagi sesiapa yang berselawat kepada Nabi Muhammad S.A.W .
Teringat saya semasa sekolah rendah dahulu, ustaz-ustazah di sekolah kafa sering menekankan supaya selalu berselawat dek kerana ganjaran dan fadhilatnya yang begitu besar. Kata ustaz, " Sekali kita berselawat pada Nabi, Sepuluh kali Allah selawat pada kita " . Subhanallah, besar sungguh ganjaranya.

Sabda Nabi S.A.W. “Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat.” 
(Hadis Riwayat At-Tabrani)

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
33:56 "Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." - Surat Al-'Aĥzāb (The Combined Forces) - سورة الأحزاب

Kita kata kita cinta nabi, Kita kata kita sayang nabi, kenapa tidak mahu berselawat kepadanya? Tepuk dada tanya iman! Jom Selawat!

 Sumber : Youtube
Lagu berjudul "Jom Selawat" yang dinyanyikan oleh adik beradik, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi. Selamat berselawat dan mendengar.

Tinta Pertama

Bismillahirrahmanirrahim,

Selasa, 1 Mei 2018
Wisma MUIP, Nasr City, Cairo,Egypt

Assalamualaikum kawan,teman dan sahabat pemburu bahagia :') , moga sentiasa sukses didalam kehidupan penuh pancaroba ini. Hehe, ini merupakan penulisan pertama saya di blog. Sebelum ini, kertas dan buku menjadi hidangan bagi sebuah cetusan rasa. Kini, insyaAllah, saya akan berkongsi segala coretan dan rasa hati saya di blog ini insyaAllah. :').

Okey, let me introduce myself . hehe, Saya merupakan seorang pelajar. Based in Cairo. Alhamdulillah, saya menyambung pelajaran diperingkat degree di Egypt. Umur? hehe hazas sirr. Menetap di daerah Kuantan. Selesai bahagian taaruf, :'D

Penulisan. Saya rasa ramai yang suka menulis. Ada juga yang tidak suka. Tidak mengapa. Hak masing-masing kerna Allah itu Maha Bijaksana. Dia menjadikan manusia itu tiap-tiap padanya, ada kelebihan, ada kekurangan. Jadi sentiasa bersyukur yaa. :')


Hope all of you guys, to support, singgah and mampu menerima buah fikiran dan cetusan rasa saya. Apa-apa saya akan kongsikan. InsyaAllah. :')
Sahabat semua boleh juga ke blog ayah saya untuk membaca,mencari dan melihat hasil penulisan ayah saya. Sememangnya, dialah yang menjadi kayu ukur dan pencetus kepada saya untuk menulis.

Orang kata, "Bapak borek, Anak rintik" hehe. 😊

abuikhwan.blogspot.com

~Semoga terus Sukses kalian. :')