Followers

Thursday, December 19, 2019

Jangan berputus asa awak-awak semua.. Allah ada...

Pernah tak kita lihat kucing-kucing terbiar tanpa tuan di tepi jalan atau lorong-lorong sepi?  Pernah ke kita terfikir, kucing-kucing ini tiada akal tetapi mampu meneruskan hidup tanpa rasa putus asa? Bagaimana rezeki mereka ada walaupun mereka sendiri tidak menjangka rezeki yang akan diterima oleh mereka pada setiap hari? Pendek kata, kucing taktahu pun apa yang akan mereka dapat dek kerana mereka tiada akal dan tidak bekerja.


Tetapi.. Allah tetap memberi kepada mereka rezeki. Kucing-kucing terbiar mampu hidup dan tidak pernah mengeluh untuk hidup.



Kita? Ada akal, ada ilmu, ada tenaga, ada kudrat tetapi masih tidak percaya pada rezeki dan mengeluh untuk hidup dan ujian yang Allah bagi. Jadilah hamba yang kuat. Sabar dan tabah itu perlu untuk menghadapi dunia penuh cabaran. Jika kita sudah lemah dan tewas, ingatlah bahawa Nabi dan para sahabat pernah sakit. Sakit untuk memberi agama kepada kita. Jangan mengalah untuk hidup kerana mati itu pasti dan mati itu adalah rehat bagi orang yang kuat menempuhi ranjau berduri ketika hidup didunia.

kita hamba. Kejar dunia berpada-pada, Akhirat jangan dilupa. Dunia untuk PENAT, Akhirat untuk REHAT. Wallahua'lam. Rabbi Yassir, Wala Tuassir.


Ikhwanraha : Persembahan Nasyid Pertama di Mesir, Sungguh Mendebarkan..

Sedang leka berfikir dan berfikir tentang video apa yang mahu aku lihat sementara menunggu sisa baki internet di telefon akan menamatkan riwayatnya, tiba-tiba sahaja, aku tersenyum. Jari jemariku pantas menaip di ruangan carian. Seakan teruja ingin mencari apa yang telah terlintas di benak fikiranku tadi. " Persembahan di DMAK AFYA ", tulisku. Ya, persembahan nasyid dan terujanya aku dek kerana empunya diri didalam video tersebut.

Hm, masihku ingat ketika itu, masih berlegar-legar kenangan itu. Bersama kawanku yang mesra dipanggil Iqbal, kami membuat debut kumpulan nasyid kami di atas pentas sambil dilihat oleh para ustaz dan ustazah. Paling menggetarkan hati ku adalah apabila yang menjadi tetamu istimewa pada hari tersebut adalah Hazamin Inteam yang turut hadir untuk menjadi perasmi di upacara perasmian Persatuan Munsyid Mesir. Beliau ditugaskan untuk memberi pencerahan dan ilmu tentang nasyid khususnya seperti Revolusi Perjalanan Nasyid di Malaysia sejak dari dulu, Kumpulan-kumpulan nasyid dulu dan kini dan sebagainya.

Gelak kecil hati ini saat membuka kembali video rakaman tersebut. Sungguh mendebarkan. Buat pengetahuan semua, itu adalah kali pertama aku berada di atas pentas sebagai seorang penyanyi. Sebelum ini, aku sudah beberapa kali naik pentas untuk membuat persembahan naayid tetapi hanya sebagai pemain alat muzik gendang iaitu darbuka, bonggo dan seangkatan dengannya sewaktu di zaman persekolahan menengah. Sungguh, tidak menjadi, suara seakan ditahan oleh pihak berkuasa yang sedang meminta lesen memandu, mulut terkunci seakan penjara tanpa penghuni. Dalam hati, berkumat kamit berzikir mudah mudahan diberikan kemudahan dan kesejahteraan semasa membuat persembahan.

Kumpulan AFYA hanya berdua. Ya, aku dan Iqbal sahaja. Aku juga tidak menyangka mendapat jemputan dari Ustaz Zakiuddin Hanafi ( Qari Johor dan sebahagian daripada kumpulan Versa Egypt ) yang mahu menghimpunkan seberapa banyak kumpulan nasyid " underground " di Mesir di bawah satu payung iaitu Munsyid Mesir.

Kumpulan demi kumpulan, kini tibalah saat kami untuk melunaskan tanggungjawab untuk menghiburkan para tetamu. Ah, sudah pasti lutut ku seakan tidak bergerak dan wujud. Haha. Kami mendendangkan lagu daripada kumpulan Nowshadd iaitu dambaan hati. Alhamdulillah, kami laluinya dengan penuh rasa seakan tidak percaya dengan apa yang dilalui oleh kami. Walau bagaimanapun, kami berasa bangga kerana satu-satunya kumpulan daripada Pahang yang membuat persembahan pada majlis tersebut. Walaupun hanya satu lagu yang kami nyanyikan, sudah cukup menjadi cabaran buat kami yang kerdil antara yang lain.

Tersenyum kecil apabila mengenangkan kenangan itu. Pengalaman itu sungguh berharga buat diriku. Itulah intipati hidup aku yang sudah tersemat dibenak fikiran. Mujur tidak tergelincir suara aku saat menyanyikan bahagian lagu yang boleh dikatakan tinggi dan high key. Fuh, apa boleh buat, kami sudah persembahkan apa yang termampu. Mungkin Allah mahu memberikan sebuah makna didalam hidup kami. InsyaAllah, moga tidak gementar lagi di lain hari jika diberi peluang lagi oleh Allah. Nasyid itu juga dakwah. Apa yang cuba disampaikan adalah apa yang Islam tunjukkan. Eh panjang pula entri kali ini, haha, maklumlah, baru kembali ke blog ini setelah lama menyepi. Maaf. Moga anda semua dikurniakan bakat yang sesuai dengan diri anda. Tonjolkan apa yang anda mampu. InsyaAllah, berjaya menjadi insan yang bahagia.



Thursday, February 14, 2019

Redha - Mengapa harus kita rasa kecewa ?

Mengapa harus kita rasa kecewa
Sedangkan Tuhan lebih mengetahui
Apa yg terbaik untuk makhluknya
Bukan ditakdir untuk menyiksa
Biarpun kita terasa berjauhan
Namun jiwa bagaikan tiada sempadan
Itu yg terbaik bagi setiap insan
Saling memahami redha dengan kehendak ilahi

Ya Rabbi auzi'ni an asykur ni'mata kallati 
An a'mta 'alayya wa ala walidayya ..
Wahai Tuhanku ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur atas nikmat-Mu
Yang Engkau kurniakan kepadaku juga kepada ibubapaku..

Ya Rabbi auzi'ni an asykur ni'mata kallati 
An a'mta 'alayya wa ala walidayya..
Wahai Tuhanku ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur atas nikmat-Mu
Yang Engkau kurniakan kepadaku juga kepada ibubapaku..

Walau pedih..
Tuk diterima..
Ia hanya sementara cuma..
Redha dengan qada' qadar-Nya..
Ada hikmah..
Di sebalik Ketentuan-Nya..

Lagu : REDHA 
Kumpulan : I Voice
Sumber : Youtube Channel Aishah Norrifin

Sunday, February 3, 2019

Kenangan masih basah.. Alamak..

Ah, sedang leka termenung, tiba-tiba teringat sebuah kenangan. Kenangan yang masih basah di ingatanku. satu persatu aku cuba susun semula untuk menyempurnakan setiap cebisan kenangan tersebut. Seingat aku, peristiwa ini berlaku semasa aku berumur 7/8 tahun. Sudah lupa kerana sudah lama berlaku. Sekitar tahun 2005 atau 2006. Tersenyum keseorangan kerana teringatkan adegan lucu yang terjadi pada masa itu.

Masih aku ingat, Mamat, ( kawan sekampung ) dan seorang lagi kawanku mengajak untuk bermain basikal di sekitar kawasan kampung Sungai Karang. Ketika itu aku masih di bangku sekolah rendah. Haha, waktu itu langsung tidak memikirkan apa-apa, main sahaja yang tahu. 

Mamat dan kawan seorang lagi ajak bermain basikal sampai ke sebuah tempat berhampiran sekolah rendah sungai karang, didalam kawasan perumahan, terdapat kawasan berbukit dan berhutan. Kononnya, didalam kawasan itu berhantu dan kami mahu pergi ke situ. 

Bertukar tragedi..

Saat turun dari bukit, basikal yg mamat tunggangi tiada brek. Bawah adalah selekoh, tetapi mamat tidak keselekoh malah terus meredah semak dan hutan sehingga terbungkang di atas satu dahan pokok yang besar. Sudahlah laju macam pelesit haha. 

Aku dan kawanku terus pergi ke arahnya tetapi hanya memandang dari arah jalan. Mamat tiba tiba bangun dengan wajah kemerahan. mungkin disebabkan redahan ke dalam semak itu sambil memegang basikal kawanku dan memandang kawanku dengan pandangan yang blur. Kami menahan ketawa tetapi hanya senyuman yang ditunjukkan. Manakan tidak, dari atas laju terus kedalam semak dan secara tiba-tiba bangun dan pegang basikal sambil buat muka tidak tahu apa-apa.  Terdapat juga calar-balar di seluruh tubuhnya. mamat seakan-akan sesak nafas lalu kami pun memutuskan untuk pulang. kami hanya mendiamkan sahaja tanpa memberitahu ibubapa masing-masing tentang hal yang telah berlaku tadi. Kami andaikan ia selesai sampai disitu sahaja.

Tiba hari lainnya, aku dan bapaku singgah di kedai mak mamat untuk membeli sedikit makanan. Tiba-tiba, mak mamat tanya dan cerita kejadian yg menimpa mamat. mungkin kerana kesan pada mamat membuatkan rahsia itu dibongkarkan. Alamak....hehe...

Wednesday, January 23, 2019

Ikhwan Raha : Pengalaman itu bermakna buat diriku..

'Berjalan ke dewan kuliah, di antara rutin kehidupanku di Mesir'

 Jam sudah menunjukkan pukul 8 pagi. Aku bersiap-siap untuk ke sebuah tempat di mana aku menjalani latihan bolasepak. Tempat itu adalah sebuah akademi bolasepak arab yang dikenali sebagai el-Mokawloon SC Academy di Tahrir, sebuah tempat yang agak jauh dari tempat tinggal aku di Mesir. 

Perjalanan mengambil masa satu jam lebih untuk sampai ke Tahrir. Ini memaksa aku bertolak lebih awal dari tempat tinggalku di Hayyu Sabiek, Kaherah. Mahu atau tidak mahu, aku perlu sampai ke sana sebelum jam 9 pagi, memandangkan latihan bermula pada pukul 9.30 pagi. 

Alhamdulillah, sepanjang mengisi jadual latihan, tidak ada sebarang masalah dari segi pengangkutan dan sebagainya. Oh ya, pasti kalian tertanya-tanya bagaimana aku diterima dan dapat menyertai kem latihan atau akademi tersebut.

Dengan rasminya, aku diterima masuk ke akademi tersebut pada penghujung tahun 2018. Semestinya dugaan dan cabaran tetap dirasai sejak dari awal lagi. Mana mungkin kita mampu mencapai sesuatu impian  dengan 'selesa'. 

Mengejar impian
 
'Kerja keras'
Sebagai seseorang yang sedang mengejar impian, tentunya kecekalan, semangat juang yang tinggi, tidak kenal erti putus asa menjadi darah daging di dalam diri. Berjaya atau tidak, itu belakang cerita. Perlu diingat, nilai sesebuah kejayaan terletak pada usaha itu sendiri. Pendekata, jika banyak usaha, maka banyaklah yang akan diperoleh, dan peluang untuk berjaya semakin dekat. 

Pada mulanya, aku menerima satu pesanan di Facebook daripada akademi tersebut, yang mempelawa untuk menyertai mereka. Rupa-rupanya mereka telah menonton rakaman video bakat permainanku dan meminta aku datang ke akademi pada hujung minggu. 

Sememangnya aku terkejut, bercampur gembira dan terharu. Lalu aku memutuskan untuk menceritakan perkara ini kepada teman serumah. Tidak disangka, mereka menyambut baik dan memberi sokongan. Sejujurnya, terman serumah banyak membantu dan aku menghargainya. Mereka tahu apa cita-citaku. 

Jadi, mereka memutuskan untuk menemaniku ke akademi tersebut pada hari yang dijanjikan. Pada mulanya kami ingin ke sana dengan bas atau tremco. Namun, disebabkan tidak arif dengan jalan, lalu kami menyewa perkhidmatan uber.

Sampai di tempat yang dituju, kami berjumpa dengan jurulatih disitu, dan mereka menunjukkan minat apabila aku menyatakan hasratku untuk menyertai akademi tersebut. Setelah berbincang beberapa perkara, aku diminta untuk datang kembali pada minggu hadapan untuk sesi pemilihan. Kawan-kawan tampak gembira dengan keputusan ini dan kami tidak pulang dengan 'tangan kosong'. Alhamdulillah.

Alhamdulillah thummalhamdulillah, kegembiraan buatku dan kawan-kawan apabila aku berjaya mencuri perhatian barisan jurulatih, para pemain serta masyarakat di situ. Seterusnya aku bakal menghadapi dua perlawanan bagi tujuan untuk melihat dan menguji kemampuan dan gaya permainanku. 

Tidak sangka, aku mendapat tahu bahawa aku merupakan anak Malaysia pertama yang bermain di akademi ini, boleh jadi satu-satunya pemain luar. Betapa bangganya, pada perlawanan pertama, aku digelar, 'profesional' oleh barisan jurulatih kerana skil permainan yang ditunjukkan dan satu 'assist' melalui sepakan sudut yang diambil olehku menghasilkan gol kemenangan. 

Aku bermain di posisi sayap kanan dalam perlawanan ini. Sebelum mencapai ke tahap ini, aku sudah mempersiapkan diri dengan latihan seperti jogging, senaman asas bolasepak, workout untuk fizikal dan sebagainya. Aku tidak hanya fokus pada bahagian dan kemampuan di kaki sahaja, malahan di bahagian fizikal turut aku titikberatkan. 

Aku menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai role-model. Beliau adalah pemain terbaik dunia sehingga kini meskipun telah memasuki usia 30-an. Sifat tidak pernah mengalah, sentiasa ingin menjadi yang terbaik, menjadikan beliau pada hari ini. Ini sangat menginspirasikanku. 

Perlawanan kedua melibatkan pasukan bawah 26 tahun dari akademi lain di Mesir. Aku diuji dan kali ini aku diletakkan oleh jurulatih untuk bermain di posisi pertahanan kanan. Untuk pengetahuan semua, aku juga mampu bermain di posisi tersebut, memandangkan fizikal tubuhku yang agak sasa. Aku yakin ia cukup untuk menutup ruang dan menahan asakan pihak lawan. Sekali lagi aku cuba mencuri tumpuan dan perhatian dengan aksi di posisi tersebut. Perlawanan tersebut berkesudahan seri tanpa jaringan. 

Alhamdulillah, syukur
 
'Bersama panel kejurulatihan'
Ringkasnya, aku dipelawa untuk menyertai akademi tersebut dan mendapat 2 bulan latihan percuma tanpa sebarang yuran yang dikenakan. Jika dilihat pada syarat kemasukan ke akademi tersebut, umurku sudah terlebih setahun. Walau bagaimanapun, aku mendapat keistimewaan diterima masuk, kerana berbakat, menurut pengurusan akademi. Aku diminta untuk menjalani latihan selama beberapa bulan sebelum tindakan seterusnya.

Kini, aku mempunyai tanggungjawab yang perlu dipenuhi, fokus pada pelajaran di Al-Azhar dan karier di akademi bolasepak kelab el-Mokawloon. Bukan hanya sekadar impian dan cita-cita, tetapi paling utama adalah untuk membantu keluarga yang banyak berkorban. Semoga suatu hari nanti aku, kamu dan semua mampu mencapai apa yang diimpikan. Allahumma ameen.