Followers

Thursday, January 28, 2021

ADAB KITA DENGAN PARA GURU : Bagaimana adab yang diajarkan ?

( sumber : twitter@alfaqirfazirun )
                                           Sumber Foto : twitter@alfaqirfazirun

 " Jika ada seorang guru yang berjalan, maka janganlah kamu mendahului guru kamu yakni jangan kamu memberi belakang kamu ( membelakangkan ) kepada guru tersebut sehinggalah guru tersebut sudah hilang dari pandangan. "

Demikian adalah sedikit bait yang telah saya ulaskan daripada kata-kata yang diajarkan oleh Syeikhuna, Syeikh Nazrul Nasir Al Azhari Hafizohullah didalam ceramah agamanya. Nampak macam perkara kecil, tetapi inilah antara adab kepada seorang guru yang ramai terlepas pandang. Begitulah tinggi darjat ataupun maqam yang diletakkan kepada seorang guru. Kita sebagai pelajar perlulah sentiasa menjaga adab kepada para guru kita kerana mereka banyak berjasa mencurahkan ilmu kepada kita. 

Dengan kemelut Covid-19 yang melanda dunia pada hari ini, proses pembelajaran tetap diteruskan iaitu secara maya ataupun " atas talian ". Banyak juga kerenah, telatah, dan ujian melalui fasa pembelajaran secara atas talian ini. Saya juga sebagai pelajar ijazah sarjana muda sekarang ini, tidak terlepas daripada tanggungjawab itu dan perlulah kita ingat, walaupun pembelajaran secara atas talian, adab terhadap guru masih wajib dilakukan walaupun berlainan konsep. Sebagai contoh, masa. Ikutlah masa yang telah ditetapkan dan jangan biarkan guru kita menunggu kita. Kadang-kadang guru penat menunggu untuk muridnya masuk kedalam medium atas talian. Ini merupakan satu contoh yang perlu diambil berat oleh seorang insan yang bergelar pelajar.

Jika dilihat, para agamawan sangat menjaga adab mereka dengan para guru. Mereka mahukan keberkatan bukan kederhakaan. Dengan itu, ilmu akan terus kekal didalam diri. Dengan situasi pada hari ini, kita dapat lihat, para guru, pensyarah bertungkus-lumus menyediakan dan memberi ilmu kepada pelajarnya walaupun berdepan ujian dan cabaran.

Kesimpulannya, jagalah adab kita dengan guru supaya apa yang diajarkan dan apa yang kita belajar daripadanya menjadi ilmu yang berkat. Guru ibarat lilin yang membakar diri demi memberikan cahaya kepada kawasan sekeliling. Begitulah perumpamaan yang sering kita dengar. Dimanakah datangnya ilmu jika kita tidak menjaga adab dengan guru kerana orang yang berilmu tidak semestinya beradab, manakala orang yang beradab, pasti ia berilmu. Wallahua'lam. 

No comments:

Post a Comment