'Berjalan ke dewan kuliah, di antara rutin kehidupanku di Mesir' |
Jam sudah menunjukkan pukul 8 pagi. Aku bersiap-siap untuk ke sebuah tempat di mana aku menjalani latihan bolasepak. Tempat itu adalah sebuah akademi bolasepak arab yang dikenali sebagai el-Mokawloon SC Academy di Tahrir, sebuah tempat yang agak jauh dari tempat tinggal aku di Mesir.
Perjalanan mengambil masa satu jam lebih untuk sampai ke Tahrir. Ini memaksa aku bertolak lebih awal dari tempat tinggalku di Hayyu Sabiek, Kaherah. Mahu atau tidak mahu, aku perlu sampai ke sana sebelum jam 9 pagi, memandangkan latihan bermula pada pukul 9.30 pagi.
Alhamdulillah, sepanjang mengisi jadual latihan, tidak ada sebarang masalah dari segi pengangkutan dan sebagainya. Oh ya, pasti kalian tertanya-tanya bagaimana aku diterima dan dapat menyertai kem latihan atau akademi tersebut.
Dengan rasminya, aku diterima masuk ke akademi tersebut pada penghujung tahun 2018. Semestinya dugaan dan cabaran tetap dirasai sejak dari awal lagi. Mana mungkin kita mampu mencapai sesuatu impian dengan 'selesa'.
Mengejar impian
Sebagai seseorang yang sedang mengejar impian, tentunya kecekalan, semangat juang yang tinggi, tidak kenal erti putus asa menjadi darah daging di dalam diri. Berjaya atau tidak, itu belakang cerita. Perlu diingat, nilai sesebuah kejayaan terletak pada usaha itu sendiri. Pendekata, jika banyak usaha, maka banyaklah yang akan diperoleh, dan peluang untuk berjaya semakin dekat.
Pada mulanya, aku menerima satu pesanan di Facebook daripada akademi tersebut, yang mempelawa untuk menyertai mereka. Rupa-rupanya mereka telah menonton rakaman video bakat permainanku dan meminta aku datang ke akademi pada hujung minggu.
Sememangnya aku terkejut, bercampur gembira dan terharu. Lalu aku memutuskan untuk menceritakan perkara ini kepada teman serumah. Tidak disangka, mereka menyambut baik dan memberi sokongan. Sejujurnya, terman serumah banyak membantu dan aku menghargainya. Mereka tahu apa cita-citaku.
Jadi, mereka memutuskan untuk menemaniku ke akademi tersebut pada hari yang dijanjikan. Pada mulanya kami ingin ke sana dengan bas atau tremco. Namun, disebabkan tidak arif dengan jalan, lalu kami menyewa perkhidmatan uber.
Sampai di tempat yang dituju, kami berjumpa dengan jurulatih disitu, dan mereka menunjukkan minat apabila aku menyatakan hasratku untuk menyertai akademi tersebut. Setelah berbincang beberapa perkara, aku diminta untuk datang kembali pada minggu hadapan untuk sesi pemilihan. Kawan-kawan tampak gembira dengan keputusan ini dan kami tidak pulang dengan 'tangan kosong'. Alhamdulillah.
Alhamdulillah thummalhamdulillah, kegembiraan buatku dan kawan-kawan apabila aku berjaya mencuri perhatian barisan jurulatih, para pemain serta masyarakat di situ. Seterusnya aku bakal menghadapi dua perlawanan bagi tujuan untuk melihat dan menguji kemampuan dan gaya permainanku.
Tidak sangka, aku mendapat tahu bahawa aku merupakan anak Malaysia pertama yang bermain di akademi ini, boleh jadi satu-satunya pemain luar. Betapa bangganya, pada perlawanan pertama, aku digelar, 'profesional' oleh barisan jurulatih kerana skil permainan yang ditunjukkan dan satu 'assist' melalui sepakan sudut yang diambil olehku menghasilkan gol kemenangan.
Aku bermain di posisi sayap kanan dalam perlawanan ini. Sebelum mencapai ke tahap ini, aku sudah mempersiapkan diri dengan latihan seperti jogging, senaman asas bolasepak, workout untuk fizikal dan sebagainya. Aku tidak hanya fokus pada bahagian dan kemampuan di kaki sahaja, malahan di bahagian fizikal turut aku titikberatkan.
Aku menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai role-model. Beliau adalah pemain terbaik dunia sehingga kini meskipun telah memasuki usia 30-an. Sifat tidak pernah mengalah, sentiasa ingin menjadi yang terbaik, menjadikan beliau pada hari ini. Ini sangat menginspirasikanku.
Perlawanan kedua melibatkan pasukan bawah 26 tahun dari akademi lain di Mesir. Aku diuji dan kali ini aku diletakkan oleh jurulatih untuk bermain di posisi pertahanan kanan. Untuk pengetahuan semua, aku juga mampu bermain di posisi tersebut, memandangkan fizikal tubuhku yang agak sasa. Aku yakin ia cukup
untuk menutup ruang dan menahan asakan pihak lawan. Sekali lagi aku cuba mencuri tumpuan dan perhatian dengan aksi di posisi tersebut. Perlawanan tersebut berkesudahan seri tanpa jaringan.
Alhamdulillah, syukur
'Bersama panel kejurulatihan' |
Ringkasnya, aku dipelawa untuk menyertai akademi tersebut dan mendapat 2 bulan latihan percuma tanpa sebarang yuran yang dikenakan. Jika dilihat pada syarat kemasukan ke akademi tersebut, umurku sudah terlebih setahun. Walau bagaimanapun, aku mendapat keistimewaan diterima masuk, kerana berbakat, menurut pengurusan akademi. Aku diminta untuk menjalani latihan selama beberapa bulan sebelum tindakan seterusnya.
Kini, aku mempunyai tanggungjawab yang perlu dipenuhi, fokus pada pelajaran di Al-Azhar dan karier di akademi bolasepak kelab el-Mokawloon. Bukan hanya sekadar impian dan cita-cita, tetapi paling utama adalah untuk membantu keluarga yang banyak berkorban. Semoga suatu hari nanti aku, kamu dan semua mampu mencapai apa yang diimpikan. Allahumma ameen.